Pengarah Jabatan Imigresen Sabah, Datuk SH Sitti Saleha Habib Yusoff berkata, semua PATI yang dipindahkan terdiri 145 lelaki, 31 wanita dan 24 kanak-kanak.
Semua PATI berkenaan sebelum ini ditahan di Depot Imigresen Papar.
“Kanak-kanak yang terlibat dengan penghantaran pulang adalah bersama ibu bapa atau penjaga masing-masing.
“Kesemua tahanan diusir melalui laut dengan menggunakan pengangkutan
Feri MV Antonia 1.
“Tahanan PATI yang terlibat pada kali ini hanyalah tahanan warganegara Filipina dari Depot Imigresen Papar sahaja,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Menurut beliau, kesemua PATI yang ditahan di depot imigresen telah melakukan pelbagai kesalahan mengikut Akta Imigresen 1959/63 dan Peraturan-Peraturan Imigresen 1963.
“Hukuman yang dikenakan adalah berdasarkan Akta Imigresen dan proses perundangan negara sehingga ke tindakan pemindahan keluar dari negara.
“Oleh itu, semua warga asing adalah diingatkan untuk memastikan mereka memiliki dokumen perjalanan yang sah dan permit kerja yang dibenarkan untuk bekerja di Sabah atau negara ini terlebih dahulu sebelum masuk ke Malaysia.
“Setiap majikan juga turut diingatkan agar bertanggungjawab dengan memastikan pekerja yang digaji mempunyai dokumen dan Pas Kerja yang sah untuk diambil bekerja.
“Mereka yang gagal mematuhi peraturan dan undang-undang negara ini pasti akan dikenakan tindakan tegas selaras dengan perundangan sedia ada.
“Semua agensi penguatkuasaan di Sabah akan sentiasa melakukan operasi penguatkuasaan secara berterusan dari masa ke semasa,” tegasnya.