Pemancing berkenaan yang terkandas di kawasan berbatu di Pulau Manukan, akhirnya diselamatkan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Sabah dan Wilayah Persekutuan Labuan.
Pengarah Maritim Sabah dan Wilayah Persekutuan Labuan, Laksamana Pertama Maritim Datuk Mohd Rosli bin Abdullah berkata Maritime Rescue Sub Centre (MRSC) Kota Kinabalu telah menerima panggilan kecemasan daripada seorang mangsa, kira-kira jam 11.20 pagi yang memaklumkan bot yang dinaiki bersama tiga lagi rakannya telah terbalik di kedudukan 0.03 batu nautika barat Pulau Manukan.
“Bertindak atas maklumat itu, bot peronda Penggalang 21 dari Maritim Malaysia Negeri Sabah dan Wilayah Persekutuan Labuan telah diatur gerak ke lokasi,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Menurut pengadu, beliau bersama tiga lagi rakannya sedang melakukan aktiviti memancing di kawasan Pulau Manukan pagi semalam sebelum bot mereka mengalami kebocoran setelah melanggar batu.
“Sejurus tiba di lokasi, keempat empat mangsa didapati sedang bepaut pada batu di persisir pantai pulau tersebut.
“Kesemua mangsa seterusnya diselamatkan dan dibawa ke jeti Jesselton Point, Kota Kinabalu untuk rawatan,” katanya.
Mangsa dikenali Azmain Nulhassan, 23, Al Asim Nasir 23, Mohammad Fikhri Amri, 22 dan Muhammad Aqil Abu Bakar, 22, hanya mengalami kecederaan ringan.
Sehubungan itu, Maritim Malaysia mengingatkan kepada komuniti maritim untuk terus berwaspada dan mengutamakan keselamatan semasa melakukan aktiviti di laut.
Mereka perlu sentias peka dengan keadaan cuaca semasa, memakai jaket keselamatan, memastikan bot dalam keadaan baik dan membawa alat pengesan lokasi (PLB) serta memaklumkan kepada keluarga atau sahabat mengenai lokasi dan tujuan ke laut.
“Maritim Malaysia memohon kerjasama komuniti maritim untuk melaporkan sebarang kecemasan, aktiviti penyeludupan dan bom ikan yang berlaku di perairan Kota Kinabalu ditalian Pusat Operasi Maritim Sabah 088 387774 atau 999 (MERS),” katanya