469 PATI Filipina Dihantar Pulang Ke Negara Asal


SANDAKAN: 469 pendatang asing tanpa izin (PATI) warganegara Filipina dihantar pulang ke negara asal melalui jalan laut dari Pelabuhan Sandakan ke Pelabuhan Zamboanga City, Filipina, menggunakan pengangkutan Feri MV Antonia 1, semalam.

Pengarah Imigresen Sabah, Datuk Sharifah Sitti Saleha Habib Yusoff berkata Program Pemindahan Tahanan PATI Siri 20 ini melibatkan pemindahan tahanan warganegara Filipina seramai 469 orang yang terdiri 385 lelaki dan 60 wanita berusia antara 13 tahun sehingga 82 tahun serta 24 kanak-kanak dan bayi.

Kanak-kanak dan bayi yang terlibat dengan penghantaran pulang adalah bersama ibubapa atau penjaga masing-masing.

Sharifah Sitti Saleha berkata kesemua tahanan itu adalah dari Depot Imigresen Tawau yang telah melakukan pelbagai kesalahan mengikut Akta Imigresen 1959/63 dan Peraturan–Peraturan Imigresen 1963.

“Hukuman yang dikenakan adalah berdasarkan Akta Imigresen dan proses perundangan negara sehingga ke tindakan pemindahan keluar dari negara.

“Bermula 1 Januari 2022 sehingga 8 Disember 2022, Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Negeri Sabah telah melaksanakan pemindahan warga asing pelbagai warganegara seramai 5,394 orang melalui laluan udara, laut dan darat.

“Oleh itu, semua warga asing adalah diingatkan untuk memastikan mereka memiliki dokumen perjalanan yang sah dan permit kerja yang dibenarkan untuk bekerja di Sabah, Malaysia terlebih dahulu sebelum masuk ke negara ini.

“Semua agensi penguatkuasaan di Sabah akan sentiasa mengambil tindakan tegas kepada mereka yang tidak mematuhi peraturan dan undang-undang negara,” katanya dalam satu kenyataan media hari ini.

Menurut Sharifah Sitti Saleha, operasi pemindahan ini adalah sebahagian daripada operasi berterusan yang dilakukan oleh JIM Negeri Sabah bagi tahanan warga asing yang ditempatkan di semua Depot Imigresen di seluruh Sabah.

Katanya, jabatan Imigresen ingin merakamkan penghargaan dan ucapan terima kasih kepada semua pihak yang terlibat dalam operasi pengusiran ini khususnya Kerajaan Sabah, Kedutaan Filipina di Kuala Lumpur serta pihak berkuasa lain di Sabah.





Source link

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *