ADUN Warisan lompat parti tetap diheret ke mahkamah


KOTA KINABALU : Parti Warisan akan meneruskan tindakan undang-undang terhadap 11 Ahli Dewan Undangan Negeri, ADUN parti itu yang telah bertindak melompat parti untuk menyertai parti lain.

Presidennya, Datuk Seri Mohd. Shafie Apdal berkata, tindakan akan diambil atas kesalahan melanggar syarat perjanjian yang telah ditandatangani bersama parti Warisan sebelum Pilihan Raya Negeri, PRN Sabah pada September 2020 lalu.

Katanya, tindakan itu mempunyai merit berdasarkan keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada 23 Jun lalu yang mengarahkan bekas Naib Presiden Parti Keadilan Rakyat dan bekas Ahli Parlimen Ampang, Datuk Zuraida Kamarudin untuk membayar saman RM10 juta kerana melanggar syarat bon selepas bertindak keluar parti.

Sehubungan itu Shafie berkata tindakan undang-undang terhadap 11 bekas ADUN Warisan yang bertindak keluar parti akan diteruskan.

Katanya kes saman ke atas ADUN Sebatik, Hassan A Gani Pg Amir yang mengumumkan keluar daripada Parti Warisan pada 25 Februari 2021 masih dalam peringkat rayuan dan itu tindakan undang-undang pertama parti Warisan ke atas bekas ADUNnya yang melompat parti.

Saman itu dikemukakan bagi mendesak Hassan mengosongkan kerusi DUN Sebatik setelah gagal mematuhi ‘ikrar taat setia’ yang ditandatangani ketika PRN Sabah 2020.

“Kes Sebatik masih dalam rayuan. Itu (saman ke atas ADUN Sebatik) adalah kes pertama kita. Saya telahpun mengarahkan peguam untuk meneruskan tindakan undang-undang ke atas ADUN Warisan lain yang bertindak keluar parti, oleh kerana sudah ada penghakiman yang dikeluarkan bagi kes Zuraida. Jadi kita akan lihat bagaimana keadaan-keadaan. Bukan hanya mungkin bila dia cakap tiada bon. Itu yang harus dilihat.

“Kalau pelanggaran kontrak (breach of contract), biasalah tu. Mesti ada pampasan dia,” katanya dalam sidang media selepas mengadakan lawatan dan perjumpaan bersama penghuni Rumah Pangsa Tanjung Aru, di sini, semalam.

Pada Jun tahun lalu, Mahkamah Tinggi Kota Kinabalu menolak saman yang difailkan Parti Warisan terhadap ADUN Sebatik itu atas alasan seorang wakil rakyat boleh bertindak atas pertimbangan sendiri dan tidak seharusnya dihalang oleh parti mahupun pengundi.

Sehubungan itu, surat peletakan jawatan dan ikrar taat setia yang ditandatangani oleh ADUN Sebatik bersama parti Warisan pada PRN Sabah 2020 adalah tidak terpakai dari segi undang-undang.

Shafie berkata parti Warisan sebelum ini telah membawa isu berkenaan ke Dewan Undangan Negeri untuk meminta kerusi berkenaan dikosongkan, namun ditolak.

Selepas PRN Sabah pada September 2020 lalu, seramai 11 ADUN Warisan telah bertindak keluar parti dan menyertai parti lain.

Selain ADUN Sebatik, 10 ADUN Warisan yang melompat parti ialah Datuk Dr. Yusof Yacob (Sindumin), Datuk Mohamaddin Ketapi (Segama), Datuk Peter Anthony (Melalap), Datuk Juil Nuatim (Limbahau), Rina Jainal (Kukusan), Datuk Awang Ahmad Sah Sahari (Putatan), Norazlinah Arif (Kunak), Mohammad Mohamarin (Banggi), Ben Chong (Tanjung Kapor) dan George Hiew (Karamunting).

Shafie yang juga ADUN Senallang dan Ahli Parlimen Semporna berkata syarat bon bukan hanya dari segi kewangan tetapi juga menetapkan ADUN yang keluar parti harus mengosongkan kawasan DUN yang dimenangi atas tiket Warisan.

Pada PRN Sabah September 2020, semua calon parti Warisan telah menandatangani surat akuan bersumpah, SD yang mengandungi beberapa syarat termasuk bersetuju mengosongkan kerusi DUN diwakili sekiranya mereka keluar daripada Warisan.





Source link

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *