Oleh: Aivi Crystel Sibil
KOTA KINABALU: Badrul Amin Amir, graduan antarabangsa Fakulti Psikologi dan Pendidikan program Pengajaran Bahasa Inggeris sebagai Bahasa Kedua (TESL) mendapat kelas pertama dalam Majlis Konvokesyen Universiti Malaysia Sabah (UMS) ke-24.
Badrul yang berasal dari Filipina mendapat kelas pertama dengan CGPA 3.91, mengongsikan perasaan bangga dan gembira dengan pencapaiannya.
Beliau sangat berpuas hati dengan apa yang diperoleh, sesuai dengan apa yang telah diusahakannya.
Anak bongsu dari 3 orang adik-beradik ini memilih UMS sebagai tempat melanjutkan kuliah dalam bidang yang telah dipilih.
“UMS salah satu universiti terkenal di Sabah dan kebanyakan pelajar antarabangsa lain mencadangkan saya untuk masuk UMS.
“Suasana UMS yang mesra juga memudahkan komunikasi saya sesama rakan,” jelasnya.
Beliau juga berkata tidak banyak cabaran yang dihadapi sepanjang pengajiannya di UMS.
“Semua kakitangandanpensyarah banyak membantu saya, tetapi pandemik Covid-19 menyukarkan sedikit kerana kuliah dijalankan secara dalam talian,” luahnya.
Bercakap mengenai pekerjaan, beliau kini sedang mencari kerja yang sesuai sementara menunggu untuk melanjutkan pengajian ke peringkat sarjana.
“Saya akan mencari kerja di UMS sementara menunggu kemasukan pengajian sarjana saya.
“Enjoy yourself dengan tahun-tahun yang dilalui sepanjang kuliah,” katanya yang ditujukan kepada pelajar UMS yang bakal bergraduasi tahun depan.