KUDAT : Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Zon Maritim Kudat menahan sebuah bot kargo yang membawa muatan barang kawalan bersubsidi tanpa permit sah, lewat petang Rabu.
Pengarah Zon Maritim Kudat, Komander Maritim Maurice Grenville Abeyeratne
berkata, bertindak atas maklumat risikan yang diterima pihaknya ketika
melaksanakan rondaan Op Tiris di sekitar perairan Kudat, bot berkenaan berjaya
dikesan dan diperiksa di kedudukan kira-kira 2.7 batu nautika timur laut muara
Marina Kudat sekitar pukul 8.30 malam.
“Semasa diperiksa, terdapat tiga individu yang mengendalikan bot berkenaan terdiri daripada seorang warga tempatan sebagai tekong manakala dua lagi merupakan
awak-awak warga Filipina.
“Seorang daripada individu terbabit didapati tidakmempunyai sebarang dokumen pengenalan diri yang sah,” katanya dalam satu kenyataan.
Maurice berkata ketiga-tiga individu terbabit berusia dalam lingkungan 19 hingga 33 tahun.
Pemeriksaan lanjut ke atas bot kargo berkenaan menemui kira-kira 2,000 liter cecair disyaki minyak petrol yang disimpan di dalam tangki simpanan bot tersebut.
Minyak petrol berkenaan didapati dibawa tanpa permit yang sah daripada pihak berkuasa.
Susulan itu, kesemua suspek bersama bot dan barang rampasan ditahan dan
dibawa ke jeti untuk diserahkan kepada pegawai penyiasat Zon Maritim Kudat bagi tindakan selanjutnya.
Nilai keseluruhan rampasan dianggarkan RM232,000.
Kes disiasat mengikut Akta Kawalan Bekalan 1961 kerana membawa barang
kawalan bersubsidi dengan niat untuk melakukan kesalahan dan Akta Imigresen
1959/1963 atas kesalahan awak-awak gagal menunjukan sebarang dokumen
pengenalan diri yang sah.
Zon Maritim Kudat memohon kepada masyarakat khususnya komuniti maritim untuk membantu pihak agensi dengan melaporkan sebarang salah laku atau kegiatan
jenayah yang berlaku di laut kepada Maritim Malaysia di talian 088-611858 (Pusat
Operasi Kudat) dan talian MERS 999 yang beroperasi 24 jam.