Bengkel anjuran bersama Persatuan Penggiat Media Labuan dan Majlis Perwakilan Penduduk (MPP) dengan Kerjasama Perbadanan Labuan (PL) ini adalah inisiatif kedua persatuan itu dan MPP selepas Bengkel Asas Kewartawanan, tahun lalu.
Bengkel berkenaan turut bertujuan merapatkan hubungan antara agensi-agensi kerajaan dan korporat dan warga kerja media.
Antara yang diketengahkan dalam bengkel berkenaan adalah peranan pegawai perhubungan korporat dalam pengendalian hal-ehwal media seperti pengedaran jemputan liputan media, penyediaan kit media (press kit) selain kepentingan membina hubungan baik bersama warga kerja media.
Antara agensi yang menyertai bengkel itu adalah PL, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia, Lembaga Pertubuhan Peladang, Jabatan Muzium, Bahagian Bekalan Air Labuan, Lembaga Perkhidmatan Kewangan Labuan, Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia dan Universiti Malaysia Sabah Kampus Antarabangsa Labuan.
Turut serta, Jabatan Kesihatan, Jabatan Belia dan Sukan, Majlis Sukan Labuan, Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan, Dewan Perniagaan Melayu Malaysia Labuan, Dewan Perniagaan India dan Industri, Dewan Perniagaan Tionghua, Dewan Usahawan Melayu Labuan, PETRONAS, Asian Supply Base Sdn Bhd dan Labuan Shipyard Engineering Sdn Bhd.
Penceramah-penceramah untuk bengkel itu adalah wakil Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama) Labuan, Jailani Hasan, ketua unit Siber Jabatan Penerangan Labuan, Mohd Khairul Azad Yunus dan jurufota Bernama, Abdull Muqtadir Halim.
Penutupan bengkel disempurnakan oleh Ketua Pegawai Eksekutif PL, Rithuan Ismail.