Empat Ahli Parlimen GRS Diarah Kosongkan Kerusi


Ronald Kiandee

KOTA KINABALU: Empat ahli Parlimen Gabungan Rakyat Sabah (GRS) yang juga bekas anggota Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) perlu mengosongkan kerusi Parlimen yang dimenangi pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) bagi memberi laluan kepada Pilihan Raya Kecil (PRK).

Naib Presiden Bersatu, Datuk Seri Dr. Ronald Kiandee memaklumkan perkara itu dalam satu kenyataan hari ini.

Ketua Badan Pimpinan Bersatu Sabah itu berkata, keahlian keempat-empat ahli Parlimen tersebut sebagai anggota Bersatu telah gugur mengikut Perlembagaan Bersatu dan perkara itu dimaklumkan melalui surat bertarikh 21 Disember.

Empat ahli Parlimen itu ialah Datuk Armizan bin Mohd. Ali (Papar), Khairul Firdaus Akbar Khan (Batu Sapi), Datuk Jonathan Yasin (Ranau) dan Datuk Matbali Musah (Sipitang).

Ronald berkata, pada 2 November lalu, Datuk Seri Hajiji Noor selaku bekas Ketua Badan Pimpinan Bersatu Sabah mengumumkan terdapat enam calon Bersatu akan mewakili GRS pada PRU-15.

“Kemudian melalui surat bertarikh 3 November daripada Setiausaha Badan Pimpinan Bersatu Negeri Sabah kepada Presiden Bersatu, Tan Sri Muhyiddin Yassin telah mengesahkan bahawa keempat-empat ahli Dewan Rakyat tersebut adalah antara calon yang akan bertanding pada PRU-15 sebagai anggota Bersatu.

“Malah, keahlian mereka dalam GRS adalah sebagai anggota parti Bersatu,” katanya.

Walau bagaimanapun, pada 10 Disember lalu, Hajiji yang juga Pengerusi GRS mengumumkan bahawa semua pemimpin Bersatu Sabah telah keluar daripada parti.

Pada persidangan Dewan Rakyat pada 19 Disember lalu, keempat-empat ahli Parlimen tersebut telah berada di blok kerajaan.

“Tindakan menyertai dan duduk di blok yang tidak menyokong parti Bersatu yang diterajui oleh Muhyiddin Yassin dan Datuk Seri Hamzah Zainudin sebagai Ketua Pembangkang Dewan Rakyat adalah perbuatan ‘crossing the floor’ dan ia melanggar janji pilihan raya mereka kepada pengundi.

“Justeru, menurut Perkara 49A(3) Perlembagaan Persekutuan, ahli-ahli Dewan Rakyat tersebut hendaklah terhenti menjadi ahli Dewan Rakyat dan kerusi mereka hendaklah dikosongkan,” katanya.

Ronald, yang juga Ahli Parlimen Beluran berkata, kepimpinan Bersatu telah memohon kepada Yang di-Pertua Dewan Rakyat supaya perkara ini dimaklumkan kepada Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) dalam tempoh 21 hari dari tarikh penerimaan notis bertulis.

Tindakan itu bagi membolehkan proses pilihan raya dapat diatur bagi mengisi kekosongan kerusi tersebut.

 





Source link

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *