Empat Hospital Medan Angkatan Tentera Dibina Bantu Mangsa Gempa Bumi Turkiye


KOTA KINABALU: Pasukan perubatan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) yang akan membina hospital medan di kawasan terjejas gempa bumi akan bertolak ke Turkiye pada pukul 2 pagi esok.

Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamad Hasan berkata, pembinaan hospital medan itu membabitkan dua jenis iaitu hospital yang dilengkapi dengan bilik bedah serta hospital yang mengendalikan rawatan kecemasan.

Maka, ATM akan membina tiga hospital medan bagi rawatan kecemasan dan satu hospital lagi akan dilengkapi dengan bilik bedah.

Beliau berkata, penghantaran pasukan perubatan yang terdiri daripada 106 orang pegawai dan anggota serta 14 orang pakar perubatan itu dilakukan selepas ATM menerima permohonan daripada Agensi Pengurusan Bencana Negara (Nadma) dan Keduataan Besar Turkiye di Kuala Lumpur.

Walau bagaimanapun, belum dapat dipastikan di kawasan mana pasukan perubatan itu akan ditempatkan kerana kawasan yang terlibat gempa bumi terlalu luas.

“Maka, kita serahkan kepada negara Turkiye untuk letak dimana kesesuaian anggota perubatan kita bagi membina dan mengurus operasi hospital medan ini, sepertimana yang pernah kita buat semasa Covid-19 melanda negara dahulu.

“Itulah yang akan kita bawa ke sana dan muatan satu hospital medan ini adalah 44 tan maka, kita perlu penghantaran selama beberapa kali menggunakan Airbus 400.

“Panglima Tentera Darat juga baharu memberitahu saya bahawa pihak Turkiye dan Nadma telah memohon agar kita menghantar tambahan 60 orang anggota mencari dan menyelamat bagi membantu operasi mencari,” katanya semasa lawatan ke Markas Divisyen Kelima Infrantri Malaysia di Kem Lok Kawi hari ini.

Menurut beliau, pasukan perubatan ATM dijangka akan berada di Turkiye selama enam minggu maknanya, mereka akan beroperasi sepenuhnya seperti berada di medan perang.

Mohamad berkata, semua kelengkapan dan bekalan yang diperlukan juga akan dibawa bersama kerana pada ketika ini negara tuan rumah iaitu Turkiye sedang dilanda bencana.

“Kita perlu berdikari sendiri dan menjaga keselamatan diri. Kita doakan supaya anggota kita yang menjalankan tugas membantu merawat mereka yang cedera dan ditimpa bencana berada dalam keadaan selamat.

“Diharap anggota kita sentiasa berhati-hati kerana gempa bumi ini mempunyai gegaran susulan maka, mereka harus sentiasa berhati-hati dan menjaga keselamatan diri,” katanya.

Tambah beliau, proses penghantaran tambahan 60 orang anggota mencari dan menyelamat ke Turkiye itu akan dilakukan dalam tempoh 48 jam atau dua hari daripada sekarang.

Pada Isnin, gempa bumi berukuran 7.8 magnitud menggegarkan tenggara Turkiye pada pukul 4.17 pagi dan angka kematian sehingga petang ini mencecah lebih 17,000 orang.





Source link

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *