Naib Canselor UMS, Prof Datuk Dr. Kasim Mansor berkata, pembayaran balik pinjaman itu perlu bagi memastikan dana negara mencukupi untuk menampung pelajar-pelajar lain yang masih menuntut dan bakal masuk ke universiti.
“Fungsi utama PTPTN adalah untuk menguruskan pembiayaan kewangan dan pinjaman pelajaran pengajian tinggi kepada mahasiswa yang sedang melanjutkan pengajian di institusi pengajian tinggi awam dan swasta di Malaysia.
“Ia telah membantu graduan dari sejak awal menjejakkan kaki ke universiti sehinggalah berjaya bergraduasi.
“Oleh itu, graduan perlu mengutamakan bayaran balik PTPTN setelah mendapat pekerjaan kelak,” katanya dalam sidang media sempena Majlis Konvokesyen UMS ke-24.
Kasim berkata, pembayaran itu juga bagi mengelakkan graduan menghadapi kesulitan pada masa akan datang.
Menurut beliau, kegagalan untuk membuat pembayaran boleh menyebabkan mereka boleh disenarai hitam oleh institusi perkhidmatan kewangan yang lain. Dalam senario yang lebih teruk, dikhuatiri mereka mungkin berhadapan dengan tindakan undang-undang.
“Jadi saya ingin berpesan sekali lagi, agar apabila para graduan sudah memperoleh pendapatan atau bekerja kelak, utamakan pembayaran semula pinjaman PTPTN,” katanya.
Kasim turut mengucapkan tahniah kepada 4,298 orang graduan yang bergraduasi pada majlis konvokesyen kali ini.