Ingatan Bung Kepada Pengundi Muda: Jangan Salah Pilih Dalam PRN Kali Ini


HULU LANGAT (SELANGOR): Berbaki beberapa jam lagi sebelum hari pengundian Pilihan Raya Negeri (PRN) di enam negeri di Semenanjung Malaysia, Pengerusi Barisan Nasional (BN) Sabah, Datuk Seri Bung Moktar Radin mengingatkan   pengundi  muda yang bakal melaksanakan tanggungjawab bagi PRN kali ini agar tidak tersalah pilih bagi mewujudkan sebuah kerajaan yang stabil.

Katanya, jika rakyat khususnya generasi muda mahukan sebuah kerajaan yang stabil dan mahu berkhidmat demi kebajikan mereka, maka pilihlah parti yang benar-benar mampu memperjuangankan masa depan golongan muda.

“Kalau kita nak kerajaan stabil maka pilihlah parti yang benar-benar nak berkhidmat untuk rakyat. PRN kali ini penting bagi menentukan kerajaan negeri yang perlu seiring dengan Kerajaan Pusat agar segala perancangan pembangunan dapat dilaksanakan sepenuhnya” katanya ketika berucap di majlis ceramah perdana di Dewan Undangan Negeri (DUN) Dusun Tua di sini, malam kelmarin.

Hadir sama calon BN N23 Dusun Tua,  Datuk Johan Abd. Aziz,  Bendahari Umno Sabah Datuk Seri Salleh Said Keruak dan Ketua Umno Bahagian Labuan, Datuk Mohd Rafi Datuk Ali Hassan.

Kerusi N23 Dusun Tua menyaksikan pertembungan tiga penjuru antara calon BN, Datuk Johan Abd. Aziz, calon Parti Ikatan Demokratik Malaysia (Muda), Al Hafiz Ikhwan Mohamad Asaad dan calon Perikatan Nasional (PN), Azhar Hambali. 

Bung yang juga Ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO berkata, pelaksanaan undi 18 turut memberikan ruang kepada anak muda bagi menentukan masa depan negara.

Sehubungan itu katanya pengundi muda hendaklah menggunakan amanah dan kepercayaan tersebut sebaik mungkin dan mengundi dengan tidak mengikut emosi dan perasaan, sebaliknya menggunakan rasional dan ilmu kefahaman dengan memilih sebuah kerajaan yang kukuh serta stabil.

Sementara itu ketika berucap di Majlis Himpunan Anak Muda di DUN Batang Kali, Bung turut meningatkan anak muda agar memilih gabungan yang terdiri daripada parti dominan bagi menubuhkan sebuah kerajaan yang stabil.

Katanya selari dengan jajaran politik baharu, tidak ada sebuah parti yang dominan untuk membentuk kerajaan, justeru pembentukan Kerajaan Perpaduan adalah jalan terbaik untuk menjaga kestabilan politik agar proses pembangunan negara dapat diteruskan demi kepentingan dan kesejahteraan rakyat.

“Saya ingin mengingatkan para pengundi (khususnya pengundi muda) supaya tidak mengulangi kesilapan pada PRU 2018 lalu iaitu rakyat memilih kerajaan yang tiada satu pun parti dominan dan ini sangat bahaya pada kestabilan kerajaan,” katanya.

Sehubungan itu, Bung menyeru golongan anak muda membuat penilaian yang bijaksana, tepat dan sebaik baiknya dalam menentukan bagaimana mereka mahu mencorakkan masa depan negara menerusi kuasa undi yang dimiliki.

“PRN kali ini amat penting untuk kita memilih kerajaan negeri yang stabil. Anak-anak muda perlu membuat keputusan dengan bijaksana untuk memastikan masa depan anda terjamin kerana anda yang akan menentukan masa depan masing-masing,” katanya.

Bung yang juga Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Sabah meminta anak-anak muda agar menolak politik perkauman yang boleh menjejaskan keharmonian rakyat di negara ini.

Dalam konteks ini, beliau turut menolak tindakan segelintir pihak yang lebih suka menyerang dan bersikap negatif.

“Konsep menyerang dan bersifat negatif ini tidak boleh lagi digunapakai. Parti harus bergerak seiring dengan landskap politik hari ini iaitu memberikan penjelasan dan harapan untuk masa depan negara ” katanya.





Source link

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *