Kastam Sabah Rekod Rampasan Dadah Bernilai RM4.34 juta


KOTA KINABALU: Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) Sabah merekodkan rampasan sebanyak 1.016 tan dadah, dengan anggaran nilai RM4.34 juta pada tahun lalu.

Penolong Ketua Pengarah Kastam Zon Sabah, Mohd Nasir Deraman berkata, kes rampasan terbesar yang direkodkan membabitkan dadah jenis syabu seberat 52.5 kilogram dan ganja seberat 0.34 kilogram dengan nilai keseluruhan dianggarkan RM1.89 juta. Ia turut membabitkan dua kes tangkapan.

Beliau berkata, pada 30 Disember lalu, JKDM Sabah turut berjaya merampas dadah yang diseludup masuk melalui Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu (LTAKK) dan berjaya merampas 6.156 kilogram dadah jenis syabu yang dianggarkan bernilai RM221,616.

Dalam operasi yang dijalankan, pihaknya turut berjaya menahan dua lelaki yang berusia 28 dan 30 tahun yang disyaki terlibat dalam pengedaran dadah itu.

“Bertindak dengan atas maklumat melalui mesin pengimbas JKDM Sabah, kita menemukan tiga bungkusan yang meragukan dipercayai mengandungi dadah berbahaya.

“Pasukan penguatkuasa kemudiannya menjalankan operasi intipan selama beberapa hari sebelum berjaya menahan dua lelaki yang ingin menuntut salah satu daripada bungkusan berkenaan pada jam 12.35 tengah hari, 3 Januari lalu,” katanya semasa sidang media di sini, kelmarin.

Hasil pemeriksaan terhadap bungkusan itu menemukan dadah dipercayai jenis methamphetamine dengan berat kasar mencecah 3.085 kilogram bernilai RM111,060.

“Turut dirampas dua kenderaan buatan tempatan yang dianggarkan bernilai RM80,000,” katanya.

Beliau berkata, masih terdapat dua lagi bungkusan yang belum dituntut dan pemeriksaan mendapati ia mengandungi 3.071 kilogram dadah jenis syabu yang bernilai RM110,556.

Mohd Nasir berkata, siasatan mendapati sindiket pengedaran menggunakan modus operandi dengan menghantar dadah melalui perkhidmatan penghantar barangan atau kurier.

Kedua-dua kes disiasat mengikut Seksyen 39B (1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952.





Source link

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *