Ketua Penerangan Wira Parti Warisan, Khairuddin Daud berkata cadangan ini adalah wajar memandangkan keadaan jalanraya di Sabah yang tidak memuaskan berbanding jalanraya di Semenanjung Malaysia.
“Malah, kita sering membaca banyak laporan kemalangan jalanraya di Sabah adalah berpunca daripada keadaan jalanraya yang rosak, berlubang dan sempit.
“Selain itu, penggunaan kenderaan pacuan empat roda di Sabah juga adalah jauh lebih tinggi berbanding di Semenanjung Malaysia,” katanya dalam satu kenyataan media.
Menurut Khairuddin yang juga Ketua Wira Warisan Bahagian Kudat, penggunaan kenderaan pacuan empat roda bukanlah satu pilihan kepada rakyat Sabah, tetapi adalah suatu keperluan khususnya di kawasan pedalaman kerana keadaan jalan yang kurang memuaskan dan tidak dapat dilalui oleh kenderaan jenis sedan.
Sehubungan itu katanya, cadangan untuk mengurangkan kadar cukai jalan kepada 50 peratus di Sabah adalah wajar bagi meringankan beban pengguna khususnya pemilik kenderaan pacuan empat roda yang terpaksa mengeluarkan kos yang tinggi untuk memperbaiki kenderaan yang rosak akibat keadaan jalanraya di Sabah.
“Diharap Menteri Pengangkutan dapat memberikan perhatian sewajarnya dan prihatin terhadap masalah pengguna jalan raya di Sabah,” katanya.
Pada masa sama, Wira Warisan menyambut baik pengumuman Menteri Pengangkutan, Anthony Loke Siew Fook pada 10 Februari lalu berhubung pemilik kenderaan persendirian dan motosikal tidak lagi perlu mempamerkan cukai jalan pada kenderaan masing-masing.
Sebaliknya, warganegara boleh menggunakan mod paparan LKM Digital (e-LKM) dan LMM Digital (e-LMM) melalui portal awam Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) atau aplikasi telefon pintar MyJPJ yang dilaksanakan di bawah satu projek perintis secara dalaman.
Ini selaras dengan pelaksanaan langkah digitalisasi dalam perkhidmatan teras JPJ, iaitu cukai jalan dan lesen memandu oleh Kementerian Pengangkutan.
Khairuddin berkata ini adalah satu langkah progresif dan harus dipuji kerana memudahkan pengguna jalanraya di seluruh negara.