Penangguhan itu dilakukan selepas pihak pengurusan pengendali feri Labuan Mainland Link Sdn Bhd mengambil kira kepentingan penumpang.
Pengerusinya Datuk Chin Hong Vui berkata penangguhan itu tidak mempunyai sebarang kaitan dengan unsur politik sebaliknya dibuat berdasarkan beban kewangan kepada penumpang dari Labuan dan tanah besar Sabah.
“Penangguhan dilakukan selepas mengambil kira pelbagai faktor seperti lebih daripada 60 peratus tiket laluan Labuan-Menumbok-Labuan telah dibeli lebih awal (untuk sambutan Tahun Baharu Cina dan Aidilfitri) dan kami merasakan tidak adil kepada penumpang yang membeli tiket selepas 1 Januari 2023.
“Faktor lain ialah keadaan ekonomi yang tidak membenarkan kami meneruskan kenaikan tambang, oleh itu kami tidak mempunyai pilihan lain selain menyerap kos tambahan yang membebankan kami dari segi kewangan dan ini adalah tanggungjawab kami kepada orang ramai,” katanya hari ini.
Labuan Mainland Link Sdn Bhd mengendalikan tiga feri iaitu MV Kimanis 1, MV Putrajaya 1 dan MV Goodwill Star yang menawarkan perkhidmatan lima hingga lapan perjalanan setiap hari.
Syarikat pengurusan tiket feri, Labuan Point Enterprise Sdn Bhd mengeluarkan notis minggu lepas berhubung kadar baharu yang disemak semula bagi kenderaan yang melalui laluan Labuan-Menumbok-Labuan mulai 1 Jan.
Notis terbabit menyatakan kenaikan tambang sebanyak 42.5 peratus bagi kenderaan persendirian dan komersial manakala 73.3 peratus bagi motosikal yang akan menjadi semakan harga pertama (jika dilaksanakan) bagi feri ro-ro dalam tempoh 15 tahun.
Labuan Mainland Link Sdn Bhd kali pertama mencadangkan pelaksanaan kenaikan tambang berkuat kuasa 1 Nov lepas namun ditangguhkan selepas Perdana Menteri ketika itu Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob meminta Kementerian Pengangkutan meneliti semula kenaikan itu selepas mendapat bantahan orang ramai.
Chin berkata penangguhan berkenaan perlu dilakukan walaupun berdepan beban kewangan berpanjangan memandangkan kos sara hidup yang tinggi di pulau bebas cukai itu dan tanah besar Sabah.
“Kami akan memutuskan pelaksanaan kadar tambang baharu apabila kami tidak lagi dapat menyerap kos tambahan berikutan peningkatan kos operasi,” katanya.