Kerja Keras Dan Bergerak Satu Pasukan, Bung Kepada Jentera Parti


KLANG : Pengerusi Barisan Nasional (BN) Sabah, Datuk Seri Bung Moktar Radin menggesa semua jentera parti di bawah Kerajaan Perpaduan khususnya jentera BN dari Sabah untuk melipat gandakan kerja keras dan bergerak dalam satu pasukan bagi memastikan kemenangan gabungan itu pada Pilihan Raya Negeri (PRN), 12 Ogos ini.

Beliau berkata jentera BN Sabah yang diamanahkan menjaga 12 kawasan DUN yang diwakili oleh UMNO/BN perlu menunjukkan komitmen yang tinggi semasa berkempen membantu calon-calon dari Kerajaan Perpaduan di kawasan-kawasan DUN yang ditandingi.

“Setakat ini jalinan kerjasama jentera parti kerajaan perpaduan BN/PH berjalan baik dan saya harap memontum ini akan berterusan sehingga ke hari pengundian bagi memastikan kemenangan berpihak kepada calon-calon Kerajaan Perpaduan untuk membentuk kerajaan negeri selepas PRN ini” katanya.

Bung ditemui selepas melakukan lawatan Ke beberapa buah Pusat Daerah Mengundi (PDM) yang diselaraskan oleh UMNO bahagian-bahagian dari Sabah baru-baru ini.

Semasa lawatan ini Bung turut berkesempatan melakukan kunjungan ke kawasan DUN N44 Selat Klang yang terletak dalam kawasan Parlimen Kapar untuk bertemu calon BN yang juga Ketua UMNO Bahagian Kapar, Datuk Roslee Abd Hamid.

Kehadiran Bung di sini yang turut diiringi Setiausaha UMNO Sabah, Datuk Jafry Arifin dan beberapa Ketua UMNO bahagian dari Sabah, telah memberikan suntikan semangat kepada jentera parti di kawasan itu.

Menurut Bung yang juga Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Sabah, amanah yang diberikan oleh pucuk pimpinan parti bagi membantu kempen di Selangor akan menjadi pembuka lembaran baharu politik negara dengan gerak kerja yang lebih padu dan tersusun daripada setiap ahli serta pendokong parti di dalam Pakatan Harapan (PH) dan BN, bagi menawan hati pengundi yang sebahagiannya daripada golongan intelek.

Beliau berkata kemenangan di Selangor tidak hanya berkisar kepada kejayaan PH dan BN semata-mata, sebaliknya ia menjadi simbol kepada usaha Kerajaan Perpaduan untuk mengangkat martabat Malaysia agar kembali disegani di rantau ini.

“Kira faham di Selangor ini ramai orang yang cerdik pandai serta matang dalam politik, kejayaan kali ini akan menentukan standard baharu politik di dalam negara ini” katanya.

Sehubungan dengan itu Bung yang juga Ahli Majlis Tertinggi UMNO mahu setiap gerak kerja jentera parti perlulah dilakukan dengan penuh semangat, keikhlasan dan niat yang betul untuk menyelamatkan rakyat, negeri, agama dan negara daripada mereka yang rakus kuasa, pelampau agama dan mengamalkan politik perkauman yang sempit.

Dalam pada itu Bung turut mengingatkan jentera UMNO dan BN dari Sabah agar melaksanakan kempen secara sopan dan berhemah serta menghormati adat resam masyarakat setempat.





Source link

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *