Maritim Malaysia Gagalkan Aktiviti Bom Ikan, Cubaan Seludup 400 Kilogram Minyak Masak


SEMPORNA : Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Zon Maritim Semporna berjaya menumpaskan aktiviti mengebom ikan serta cubaan menyeludup keluar minyak masak bersubdisidi di perairan Semporna, pagi tadi.

Pengarah Zon Maritim Semporna, Komander Maritim Amir Shubli berkata, kedua-dua kes ditumpaskan oleh bot peronda Maritim Malaysia yang sedang dalam penugasan Op Pluto Timur, kira-kira 11 pagi tadi.

“Sebuah bot pam berwarna biru dan kelabu tanpa nombor pendaftaran dikesan bot peronda bergerak dalam keadaan mencurigakan di kedudukan sekitar 0.1 Batu Nautika Utara Kampung Gelam-Gelam.

“Semasa dihampiri, tekong bot telah bertindak terjun serta melarikan diri ke kawasan daratan berhampiran,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Amir berkata pemeriksaan ke atas bot yang ditinggalkan menemui beberapa peralatan mengebom ikan.

Pada masa yang sama, kru sebuah bot bewarna hijau tanpa nombor pendaftaran yang melalui kawasan berhampiran lokasi kejadian, secara tiba-tiba bertindak terjun meninggalkan bot yang dinaiki.

Faktor muka bumi serta perairan yang cetek menyukarkan usaha mengesan serta menahan suspek.

“Curiga dengan tindakan itu, pasukan peronda melakukan pemeriksaan ke atas bot yang ditinggalkan.

“Hasil pemeriksaan menemukan bungkusan berisi minyak masak paket bersubsidi seberat 400 kilogram yang dipercayai cuba diseludup ke negara jiran.

“Kedua-dua bot tersebut seterusnya ditunda dan diiring ke Jeti Maritim Semporna untuk siasatan lanjut. Nilai keseluruhan rampasan dianggarkan RM23,000,” katanya.

Kes disiasat mengikut Akta Perikanan 1985 kerana menggunakan bahan letupan untuk menangkap ikan.

Manakala bagi cubaan menyeludup keluar minyak masak tanpa cukai, kes disiasat mengikut Akta Kawalan Bekalan 1961.

Siasatan lanjut akan dilakukan bagi mengesan pemilik bot serta dalang di sebalik kegiatan ini.

“Aktiviti pengeboman ikan adalah satu kesalahan mengikut Akta Perikanan 1985. Aktiviti itu bukan hanya merosakkan ekosistem di laut malahan ia juga akan menjejaskan industri pelancongan di perairan Semporna.

“Impak letupan boleh mendatangkan kecederaan, kehilangan nyawa serta ancaman lain terutamanya kepada para penyelam rekreasi di kawasan berdekatan.

“Rondaan dan penguatkuasaan di sekitar kawasan ‘hot spot’ terutamanya sekitar kawasan pelancongan serta sempadan perairan negara akan terus dilaksanakan bagi membanteras sebarang aktiviti jenayah dilaut.

“Maritim Malaysia menyeru kepada mana-mana individu yang mempunyai sebarang maklumat berkaitan kes atau lain-lain kegiatan jenayah maritim untuk menyalurkannya ke Pusat Operasi Zon Maritim Semporna di talian 089-782619 atau MERS 999,” katanya.





Source link

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *