Pengarah Zon Maritim Tawau Kepten Maritim Shahrizan Raman berkata, cubaan itu digagalkan 2 pasukan bot peronda Maritim Malaysia yang sedang menjalankan Ops Pluto Timur 2/13 dan Ops Sejahtera di sektor operasi yang berlainan.
Dalam kejadian pertama, bot ronda Maritim Malaysia mengesan sebuah bot penumpang yang bergerak dari arah Pulau Sebatik menuju ke Perairan Tawau di kedudukan 1.4 batu nautika selatan perairan Batu 2, Tawau kira-kira jam 8.20 pagi.
Pemeriksaan ke atas bot terbabit mendapati seorang juragan lelaki warga tempatan berusia 66 tahun membawa dua penumpang lelaki berusia awal 20 an dipercayai warga Indonesia tanpa sebarang dokumen perjalanan yang sah.
Dalam kes kedua, sebuah bot jongkong turut ditahan di kedudukan 1.06 batu nautika selatan perairan Indrasabah, kira-kira jam 5.30 petang.
Pemeriksaan ke atas bot terbabit mendapati seorang lelaki warga tempatan berusia 19 tahun bertindak selaku juragan dan membawa tiga penumpang lelaki dipercayai warga Indonesia tanpa sebarang dokumen pengenalan diri yang sah.
Juragan dan penumpang kedua-dua bot berkenaan ditahan dan dibawa ke Jeti Zon Maritim Tawau untuk siasatan lanjut kerana disyaki melakukan kesalahan mengikut Enakmen Jabatan Pelabuhan dan Dermaga
Sabah (JPDS) dan Akta Imigresen 1959/63 kerana cuba memasuki negara ini melalui laluan yang tidak diwartakan.
Kesemua barangan termasuk bot jongkong, enjin bot, barangan peribadi disita dengan nilai keseluruhan rampasan dianggarkan bernilai RM58,500.