Masalah Air Berlumpur: Penghuni Kondominium Dan Penduduk Tanjung Aru Menuntut Penyelesaian


KOTA KINABALU: Penghuni kondominium Waikiki yang terletak berhampiran pantai Tanjung Aru yang ikonik, kecewa kerana mereka terpaksa bergelut dengan masalah air berlumpur yang mengganggu kehidupan seharian mereka.

Menurut penduduk, masalah air berlumpur itu menyebabkan pakaian yang telah dicuci bertukar warna menjadi kuning.

Penduduk mengeluh kerana mereka tidak dapat  menggunakan air yang kotor itu untuk kegunaan harian seperti mandi, mencuci pinggan mangkuk dan memasak. Masalah keperluan asas itu menjejaskan dengan teruk kehidupan seharian penghuni kondominium Waikiki.

Memburukkan lagi keadaan  adalah bekalan air yang tidak konsisten, dengan beberapa penduduk melaporkan bahawa mereka tiada akses kepada bekalan air untuk beberapa hari.

Penduduk pangsapuri Waikiki bukan satu-satunya yang mengalami masalah ini.

Pelbagai kawasan lain di Tanjung Aru sedang bergelut dengan masalah tekanan air yang rendah dan krisis air yang berpanjangan.

Aktiviti perniagaan, kehidupan seharian isi rumah dan institusi tempatan semuanya telah terjejas kesan daripada krisis air yang berpanjangan dan tidak berkesudahan ini.

Menyuarakan kebimbangannya berhubung situasi ini, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tanjung Aru, Datuk Junz Wong, meluahkan kekecewaannya akibat kelemahan pengurusan bekalan air oleh kerajaan negeri.

“Sungguh menyayat hati untuk melihat rakan-rakan kita di Sabah menempuh  kehidupan yang sengsara dan sama dengan negara-negara dunia ketiga disebabkan oleh kelemahan ketara kerajaan GRS,” katanya.

Junz, yang juga Naib Presiden Warisan berkata terdapat  keperluan mendesak untuk mengambil tindakan segera bagi menyelesaikan masalah air ini yang telah menjejaskan  penduduk Tanjung Aru.

“Saya telah merayu kepada kerajaan GRS untuk memberikan keutamaan kepada isu-isu air di seluruh Kota Kinabalu selama beberapa bulan, malah di dalam Dewan Undangan Negeri, tetapi rayuan saya tidak didengari.”

“Cukup dengan projek kerajaan yang bukan keutamaan untuk masa ini, kembali kepada asas! Adalah penting bagi kita untuk kembali kepada asas-asas.” tegas Junz.

Penderitaan penghuni kondominium Waikiki ini jelas menunjukan lokasi yang paling ikonik pun boleh mengalami masalah keperluan asas akibat kecuaian pihak  yang berwajib.





Source link

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *