
KOTA KINABALU : Pusat Perlindungan Sementara akan diwujudkan di setiap daerah bagi menyelamatkan kanak-kanak jalanan yang berkeliaran dan meminta sedekah.
Pembantu Menteri Kepada Ketua Menteri, Datuk Abidin Madingkir berkata, kerajaan negeri akan mewujudkan pusat berkenaan yang berdepan masalah kanak-kanak jalanan seperti di Kota Kinabalu dan bandar utama lain termasuk Tawau, Sandakan dan Lahad Datu.
Katanya masalah kanak-kanak jalanan ini yang berkeliaran dan mengemis di lampu isyarat telah menimbulkan kegusaran awam.
“Penglibatan mereka dalam aktiviti meminta sedekah serta berkeliaran di kawasan tumpuan ramai selain menyumbang kepada masalah setinggan di bandar, bukan sahaja memberikan imej negatif di Sabah malah memberikan persepsi salah mengenai usaha membangunkan negeri ini,” katanya pada sesi soal jawab Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah, di sini, hari ini.
Abidin menjawab soalan Datuk Ewon Benedick (PH-Kadamaian) mengenai usaha kerajaan untuk membanteras isu kanak-kanak yang berkeliaran dan mengemis di jalan raya serta lampu trafik di sekitar Kota Kinabalu.
“Majoriti kumpulan ini adalah daripada suku Palauh iaitu golongan masyarakat tanpa dokumen yang secara tradisinya menghuni kawasan pesisir laut dan pulau-pulau di Pantai Timur Sabah,” katanya.
Katanya, pusat berkenaan diselia kerajaan negeri melalui Pejabat Hal Ehwal Dalam Negeri dan Penyelidikan bersama Jabatan Perkhidmatan Kebajikan Am (JPKA) dengan dibantu pihak berkuasa tempatan (PBT).
Beliau berkata, projek perintis akan dilaksanakan di Kota Kinabalu dengan mengubah suai sebuah rumah kerajaan yang tidak lagi didiami sebagai Pusat Perlindungan Sementara.
“Peruntukan segera sebanyak RM250,000 sudah disediakan untuk pengubahsuaian rumah berkenaan agar bersesuaian dengan konsep Pusat Perlindungan Sementara.
“Pusat perlindungan ini dijangka akan mula beroperasi pada penghujung tahun ini dengan sasarannya adalah kanak-kanak Palauh bersama penjaga mereka yang diselamatkan ketika operasi berjadual dan bersasar yang dilancarkan PBT,” katanya.
Menurut beliau, kanak-kanak jalanan yang diselamatkan akan dihantar ke pusat perlindungan sementara itu dengan tempoh maksimum 3 bulan.
Katanya, pusat perlindungan sementara itu menyediakan program khas yang menerapkan kemahiran mengenai pengurusan diri, kehidupan bermasyarakat dan pembelajaran rohani secara tidak rasmi.
“Selepas itu, kanak-kanak jalanan terbabit akan diserahkan semula kepada ibu bapa atau penjaga masing-masing apabila tempoh 3 bulan itu berakhir,” katanya.
Ketika diserahkan semula kepada ibu bapa dan penjaga kanak-kanak jalanan itu, mereka perlu melalui proses amaran kelakuan dan dilarang mengulangi kesalahan itu.
Katanya tanggungjawab menjaga keselamatan pusat perlindungan sementara itu terletak di bawah Jabatan Sukarelawan Malaysia (RELA) manakala tanggungjawab melakukan pemeriksaan kesihatan sebelum dimasukkan ke pusat perlindungan sementara dilaksanakan Jabatan Kesihatan.
“Pelaksanaan pusat perlindungan sementara ini adalah selaras dengan Konvensyen Geneva 1989 serta Akta Kanak-kanak 1971, perkara 17(a) (1) (2) yang menekankan hak kanak-kanak untuk mendapatkan perlindungan daripada sebarang keadaan merbahaya termasuk eksploitasi serta terlibat dalam aktiviti seperti meminta sedekah yang memudaratkan keselamatan mereka.
“Kerajaan sedar masalah kanak-kanak jalanan yang berkeliaran dan mengemis perlu ditangani dan kerajaan akan sentiasa berusaha mencari penyelesaian,” katanya.
Menurut Abidin, Dewan Bandaraya Kota Kinabalu serta PBT lain akan sentiasa bekerjasama dengan agensi lain seperti Jabatan Perkhidmatan Kebajikan Am, polis, Jabatan Imigresen Malaysia dan Majlis Keselamatan Negara untuk
membendung masalah kanak-kanak jalanan ini.
Semua lapisan masyarakat di Sabah juga perlu bekerjasama membanteras masalah ini antaranya dengan tidak membeli barangan yang dijual golongan berkenaan.
Menjawab soalan tambahan Phoong Jin Zhe (PH-Luyang), Abidin berkata terdapat 1,327 orang dari masyarakat Palauh yang tinggal di 228 rumah di Pulau Gaya dekat Kota Kinabalu dan 4 orang lagi menetap di kawasan berhampiran Jabatan Cetak Kerajaan di Kota Kinabalu.
Sementara itu, Datuk Dr Yusof Yacob (Bebas-Sindumin) berkata masalah kanak-kanak jalanan di Sabah perlu diselesaikan kerana ia memberikan gambaran tidak baik di mata pelancong asing seperti apa yang di Jakarta dan Manila.