Minuman Tiada Tanda Harga, Restoran Di Foh Sang Dikompaun RM200


KOTA KINABALU: Sebuah restoran di Foh Sang dikenakan kompaun RM200 secara serta-merta kerana gagal meletakkan tanda harga pada minuman yang dijual di restoran berkenaan.

Pengarah Pejabat Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Negeri Sabah, Georgie Abas berkata, kompaun dikeluarkan mengikut Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan (AKHAP) 2011 kerana gagal meletakkan tanda harga barangan yang dijual.

Beliau berkata, pemeriksaan di restoran itu dilakukan susulan terdapat aduan tular dalam media sosial mengenai harga makanan yang mahal di restoran berkenaan.

Susulan itu, sepasukan anggota penguatkuasa telah menjalankan pemeriksaan dan siasatan melalui Ops Samar kelmarin.

“Semasa pemeriksaan dijalankan, dua anggota pemeriksaan dengan berpakaian preman telah membuat ‘test purchase’ terhadap makanan dan minuman yang diadu sebelum anggota pemeriksaan lain yang beruniform hadir untuk menjalankan siasatan lanjut.

“Hasil daripada pemeriksaan dan siasatan yang dijalankan mendapati tanda harga di restoran tersebut tidak lengkap dan tidak menyatakan caj tambahan bagi makanan yang ingin ditambah oleh pelanggan.

“Selain itu, pemeriksaan juga mendapati restoran tersebut gagal meletakkan tanda harga bagi dua jenis minuman tin jenama Malta dan Anglia yang dijual di premis tersebut,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Justeru, Georgi menasihatkan pemilik restoran agar mengemaskini senarai harga makanan dan minuman yang mereka tawarkan supaya lebih jelas.

Malah, pemilik juga diminta menambah dan mempamerkan senarai harga makanan dalam Bahasa Melayu selain dalam Bahasa Cina yang sedia ada.

Tambahnya, pemantauan lanjut akan diteruskan dari semasa ke semasa terhadap restoran tersebut bagi memastikan peniaga sentiasa patuh kepada peraturan yang ditetapkan.

KPDN Sabah ingin mengingatkan kepada semua peniaga supaya sentiasa patuh terhadap undang-undang yang telah dikuatkuasakan oleh Kementerian.

Mana-mana peniaga yang didapati melakukan kesalahan akan diambil tindakan di bawah Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan (AKHAP) 2011.

 





Source link

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *