Jo-Anna, 33, turut mempersoalkan bagaimana pengundi di parlimen Tuaran meletakkan kepercayaan kepada gabungan itu dengan pertembungan yang berlaku kepada calon pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) kali ini.
“Bagaimana pengundi Tuaran perlu meletakan kepercayaan dengan gabungan ini, sedangkan mereka bertembung sesama sendiri, seperti di kawasan Beluran di mana Benedict Asmat (UMNO/BN) bertembung dengan Datuk Seri Dr Ronald Kiandee (Perikatan Nasional) dan semua ini kerana jawatan.
“Ini menunjukan kelemahan dalam gabungan ini sebagai kerajaan. Bagaimana gabungan ini ada keupayaan boleh menuntut hak hak sabah? Yang termaktub dalam pelembangaan Perjanjian Malaysia 1963 (MA63),” katanya kepada Sinar Harian pada Sabtu.
Tambah Timbalan Ketua Wirawati Warisan itu lagi, tindakan parti gabungan itu boleh mengelirukan pengundi belia di Parlimen Tuaran.
Sementara itu, bercakap mengenai manifesto untuk Parlimen Tuaran, Jo-Anna mahu memastikan Tuaran bersih dari pelbagai aspek.
“Tuaran yang bersih akan mengalakkan lagi lebih ramai pelancong berkunjung dan merancakkan aktiviti pelancongan selain untuk kesejahteraan rakyat di parlimen ini.
.
“Tuaran yang bersih juga bermaksud tiada rasuah, jadi perkhidmatan pihak berkuasa
tempatan lebih bail dan menepati kehendak rakyat,” ujarnya.
Bagi manifesto lain, Jo-Anna berkata, ini termasuk kemudahan infrastruktur jalan raya, bekalan air dan elektrik, rangkaian telekomunikasi serta sekolah demi kemudahan penduduk di Parlimen Tuaran.
“Begitu juga isu bekalan air di mana Jabatan Air Negeri Sabah (JANS) dan semua pihak berwajib perlu duduk semeja dan menyelesaikan isu berkenaan secara keseluruhan.
“Bekalan elektrik yang tidak stabil akan diselesaikan, Sabah Electricity Sdn Bhd (SESB) perlu menaik taraf semua stesen janakuasa yang terdapat di kawasan Tuaran.
“Menara telekomunikasi akan dibina di Tuaran terutama kawasan pedalaman bagi memperluaskan capaian internet penduduk dan kerjasama antara Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) dan syarikat telco akan dilaksanakan demi memastikan kemudahan internet kepada rakyat Tuaran lebih baik.
“Beberapa sekolah baharu sama ada sekolah rendah atau menengah perlu dibina di Tuaran kerana pertambahan penduduknya. Jadi sekolah baharu akan dibina di kawasan yang strategik bagi memudahkan perjalanan ke sekolah selain dapat mengurangkan kepadatan pelajar di sekolah yang sedia ada, ” katanya.