LABUAN : Pemuda Perikatan Nasional (PN) menganjurkan tunjuk perasaan hanya untuk menarik simpati rakyat, dengan agenda untuk menjatuhkan Kerajaan Perpaduan dengan menjadikan isu berkaitan Presiden UMNO Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi ‘Dilepaskan Tanpa Dibebaskan’ Atau (DNAA).
Ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO (MKT), Datuk Mohd Rafi Alli Hassan berkata, PN hanya dilihat meraih populariti dengan menggunakan taktik politik murahan sehingga sanggup terlibat dalam perhimpunan pada Sabtu lepas.
Beliau berkata, PN tidak dapat menerima kenyataan sokongan UMNO dan Barisan Nasional (BN) kepada Kerajaan Perpaduan sebenarnya bukan hanya kerana Ahmad Zahid tetapi lebih menjunjung Titah Tuanku Yang dipertuan Agong dan menyelamatkan negara daripada krisis politik selepas Pilihan Raya Umum ke 15 (PRU-15) disamping mewujudkan sebuah kerajaan yang stabil untuk mentadbir negara bagi meneruskan kemakmuran dan kemajuan negara.
“Saya nasihatkan kepada mereka yang masih rindu dan ingin berjuang bersama UMNO untuk kembali sertai UMNO dan beri sokongan kepada parti yang banyak berjasa dengan memberikan sumbangan kesenangan serta kekayaan kepada kepimpinan PN yang kebanyakkannya adalah bekas-bekas ahli UMNO.
“Isu DNAA Ahmad Zahid bukan perkara yang mengejutkan kerana PN sendiri juga pernah melakukan perkara sama terhadap pemimpin mereka dan sekutu-sekutunya.
“Sebelum ini PN cukup percaya sehingga mengeluarkan kenyataan mendakwa yakin dan percaya kepada Badan Kehakiman dan Perundangan Negara lebih-lebih lagi jika melibatkan pembebasan pemimpin mereka,” katanya dalam kenyataan yang dikeluarkan di sini, hari ini
Mohd Rafi yang juga Ketua UMNO Bahagian Labuan berkata, mereka perlu menghormati sambutan Hari Malaysia.
Sehubungan dengan itu tunjukkanlah sikap hormat-menghormati untuk menunjukkan semangat patriotisme kepada negara lebih daripada segalanya.
“Kita mempunyai tanggungjawab kepada agama, bangsa dan tanahair…Semua kena memandang ke hadapan (‘move on’) dan pihak kerajaan perlu fokus menjalankan tanggungjawab bangunkan negara serta membantu rakyat yang agak terbeban dengan kos sara hidup yang agak tinggi sekarang ini selain iklim ekonomi negara yang tidak menentu ketika ini.
“Janganlah kerana tidak sabar menunggu empat tahun lagi, maka mereka mahu membawa rakyat kejalanan untuk rampas kuasa,” jelas Mohd Rafi.
Beliau berkata semua Ahli Parlimen BN yang ada sekarang mempunyai pendirian yang teguh sekali gus tidak akan menjadi ‘katak’ seperti kebanyakan yang ada di pihak sebelah.