PPOKU UMS bantu ringan beban golongan OKU –


Oleh: Slandy Anak Anis (Pelajar Komunikasi FSSK)

KOTA KINABALU: “Saya sangat berpuas hati dengan perkhidmatan yang disediakan oleh Pusat Pengurusan Orang Kurang Upaya (PPOKU) Universiti Malaysia Sabah (UMS) kerana banyak membantu terutama dari segi kewangan.

“Pihak PPOKU UMS sangat prihatin dengan golongan pelajar OKU kerana sentiasa bertanya khabar,” kata Mohd Firdaus Mohd Hanapiah, graduan OKU Fakulti Komputeran dan Informatik (FKI) Kampus Antarabangsa Labuan, Universiti Malaysia Sabah (UMS) yang ditemui ketika menerima ijazah sempena Majlis Konvokesyen UMS ke-24.

Beliau menambah, PPOKU UMS memberikan kad diskaun makanan kepada golongan pelajar OKU untuk perbelanjaan sepanjang pengajian.

Anak kelima daripada tujuh adik beradik ini mempunyai masalah fizikal pada tangan sejak umur satu tahun lagi.  

Firdaus berkata, beliau tidak mempunyai cabaran yang ketara dalam bidang pengajian kerana banyak rakan yang membantu.

Tambahnya, tidak menjadi masalah untuk mengendalikan kerja dalam bidang yang dipelajari kerana ia merupakan minat sejak kecil dalam pengekodan.

Firdaus bersama rakan sekumpulannya telah mengadakan sistem belajar bahasa Mandarin dan Korea secara dalam talian bagi projek tahun akhir yang diselia pensyarah bahasa, Hadzariah Ismail.

“Sistem tersebut turut disertakan dengan kuiz dan menyediakan cara sebutan yang betul dalam bahasa Mandarin dan Korea.

“Projek ini dapat dijalankan dengan baik kerana masing-masing mempunyai kemahiran dalam bahasa Mandarin dan Korea,” katanya yang mencatat Purata Nilai Gred Kumulatif (CGPA) 3.56 sepanjang pengajian.



Source link

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *