Menurut laporan Utusan Malaysia, Presiden Warisan, Datuk Seri Mohd. Shafie Apdal berkata, ketika pertemuan itu, beliau memaklumkan bahawa isu MA63 perlu dilihat secara serius oleh Kerajaan Perpaduan.
Beliau berkata, MA63 adalah antara perkara yang beliau kerap bangkitkan selama ini dan mahu ia dibincangkan secara serius kali ini.
“Ya, saya ada bangkitkan tentang MA63 tadi. Kami mahu pelaksanaan MA63 dilakukan secara berperingkat-peringkat,” katanya ketika ditemui pemberita sejurus pertemuan dengan Perdana Menteri di Pejabat Perdana Menteri, Bangunan Perdana Putra, di sini.
Dalam pada itu, Mohd. Shafie berkata, beliau juga mengesahkan tiada perbincangan mengenai jawatan menteri bagi mengisi Kabinet Kerajaan Perpaduan pada pertemuan itu.
“Secara terperinci kita tidak bincang, sebaliknya saya berkongsi pandangan bagaimana Kerajaan Perpaduan ini dapat diuruskan dengan baik kerana harapan rakyat begitu tinggi.
“Kita berharap ia dapat dilaksanakan sebaik mungkin. Saya tahu ia bukan mudah kerana banyak rintangan selain situasi semasa kewangan negara dan keadaan ekonomi global,” katanya.
Ditanya reaksi Anwar pada pertemuan itu, Mohd. Shafie berkata, Perdana Menteri memaklumkan beliau gembira walaupun agak sibuk dengan pelbagai urusan.
“Beliau (Anwar) nampak letih sangat. Saya pun kesian,” katanya.
Ditanya berhubung keperluan melantik Timbalan Perdana Menteri dari Sabah dan Sarawak, Mohd. Shafie berkata, perkara itu tidak dibincangkan pada pertemuan berkenaan.
“Perkara (Timbalan Perdana Menteri dari Sabah dan Sarawak) itu kita tidak bincang secara terperinci. Perlu ke? Kita tunggu bila tiba waktunya,” katanya.
Pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) lalu, Warisan memenangi tiga kerusi iaitu Semporna yang diwakili Mohd. Shafie, Datuk Mohd. Yusof Apdal (Lahad Datu) dan Isnaraissah Munirah Majilis (Kota Belud).