Dalam kejadian kira-kira jam 1.40 petang itu, wanita berusia 37 tahun berkenaan ditahan oleh sepasukan anggota dari Balai Polis Bombalai.
Ketua Polis Daerah Tawau, Asisten Komisioner Jasmin Hussin berkata, bertindak atas maklumat Polis membuat serbuan dan pemeriksaan di sebuah rumah atas air di kawasan Kampung Kuala Merotai.
“Polis masuk ke dalam rumah berkenaan dan memperkenalkan diri kepada seorang perempuan yang berada di ruang tamu rumah tersebut yang dilihat dalam keadaan mencurigakan.
“Hasil pemeriksaan ke atas suspek, polis telah menemukan satu beg kecil yang mengandungi 17 peket plastik lutsinar berlainan saiz yang berisi bahan hablur jernih disyaki dadah jenis syabu,” katanya dalam satu kenyataan,
Hasil pemeriksaan juga mendapati suspek tidak memiliki sebarang dokumen pengenalan diri yang sah.
Pada masa yang sama, polis turut menahan empat lelaki warga tempatan berumur 30 hingga 52 tahun dalam keadaan yang mencurigakan di kawasan kampung Kuala Merotai dan disyaki penagih dadah.
Pemeriksaan lanjut ke atas tubuh badan empat lelaki tersebut tidak menemukan barang salah.
Tangkapan dibawa ke Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Daerah (BSJND) Tawau untuk tindakan lanjut.
“Ujian awal saringan air kencing mendapati dua dari empat suspek berkenaan positif dadah jenis syabu. Justeru, kedua-dua suspek akan disiasat di bawah seksyen 15(1) (a) Akta Dadah Berbahaya 1952.
Menurutnya, Polis Daerah Tawau bergiat aktif dalam menjalankan operasi yang berkonsepkan agresif policing dalam usaha menangani kes jenayah dan dadah di daerah ini.