KOTA KINABALU: Universiti Malaysia Sabah (UMS) menerima kunjungan Timbalan Menteri Pendidikan Tinggi, Dato’ Mohammad Yusof Apdal, di sini, pada Jumaat.
Kunjungan beliau disambut Naib Canselor UMS, Prof. Datuk Dr. Kasim Haji Mansor di Bangunan Canselori UMS bersama Pegawai-pegawai Utama dan pengurusan Universiti.
Pada kunjungan tersebut Yusof menerima taklimat perkembangan semasa serta pencapaian-pencapaian terkini UMS.
Taklimat disampaikan oleh Naib Canselor UMS, Profesor Datuk Dr Kasim Mansor.
Menurut Kasim, UMS telah dan akan terus meningkatkan kapasiti dan kredibiliti UMS selari dengan 11 agenda yang digariskan dalam Perutusan Tahun Baru 2023 oleh Menteri KPT, Dato’ Seri Mohamed Khaled Nordin baru-baru ini.
“Sejak penubuhan UMS 28 tahun yang lalu, pembangunan universiti adalah berinspirasikan kepada usaha menjadikan universiti sebagai pusat yang melahirkan graduan terbilang.
“Selain itu, walau pun ianya adalah universiti komprehensif, ia sentiasa menggalakkan para pensyarah untuk melaku penyelidikan-penyelidikan yang bukan hanya memberi impak kepada kedudukan universiti tetapi juga kepada kemashlahatan masyarakat.
“Sebab itu, pada tahun ini, UMS memperkenalkan slogan ‘Leading towards Innovative Societies’ yakni bagi melipatgandakan lagi komitmen UMS sebagai peneraju ke arah melahirkan masyarakat yang berinovatif.
“Ini akan turut menjayakan aspirasi nasional sebagaimana yang dihasratkan oleh Perdana menteri menerusi slogan Malaysia Madani,” katanya.
Tambah Dr. Kasim lagi, pelbagai program bersama masyarakat akan dilaksanakan dengan memfokus kepada proses pemindahan ilmu kepada komuniti setempat merangkumi empat sektor utama khususnya di Sabah iaitu pertanian, perindustrian, pelancongan dan perkhidmatan.
“Bagi menjayakan matlamat ini, UMS akan memperluaskan jaringan kerjasama dengan pemegang taruh, mewujudkan lebih banyak “Living Laboratory” dengan kerjasama agensi-agensi kerajaan dan industri,” katanya.
Untuk rekod, Dato Hj Mohammad Yusof Apdal adalah Ahli Parlimen Lahad Datu yang diberi kepercayaan selaku Timbalan Menteri untuk memastikan pendidikan tinggi negara menjadi salah satu tunjang utama kepada kemajuan negara.
“Menjadi hasrat Kementerian untuk mendekati semua IPT menerusi lawatan kerja seperti ini bagi kita memastikan pendekatan yang digagaskan di pihak Kementerian dapat direncana dan dilaksanakan bersama dengan pihak IPT.
“Di samping itu, kita juga ingin melihat dan mendengar sendiri inisiatif-inisiatif IPT yang boleh dikongsikan dgn semua IPT,” ujar Yusof.
Turut sama menyambut ketibaan Timbalan Menteri ialah Timbalan Naib Canselor Akademik dan Antarabangsa, Prof. Dr. Rasid Mail; Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Pelajar dan Alumni, Prof Madya Dr Raman Noordin; serta Pegawai-pegawai Utama dan Kanan UMS.